Sebanyak 21 premis diserbu polis dalam Op Dadu bagi membanteras aktiviti perjudian di daerah ini.

KUANTAN – Seramai 21 orang individu ditahan polis ketika operasi membanteras aktiviti perjudian di 21 lokasi berasingan di daerah ini telah direman bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 11 suspek merupakan lelaki dan selebihnya suspek wanita yang telah ditahan.

Wan Mohd Zahari Wan Busu.

”Kesemua suspek serusia 17  hingga 52 tahun itu ditahan dalam Op Dadu telah direman bermula hari ini sehingga 16 Januari depan.

”Op Dadu dijalankan oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Pahang telah melakukan 21 serbuan berasingan ke atas premis seperti kedai runcit,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Wan Zahari, serbuan tersebut sekali gus mematahkan usaha aktiviti perjudian yang berselindung sebalik kedai runcit dan premis menjual tambah nilai kredit telefon.

Dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas pelbagai jenis telefon bimbit, mesin pencetak dan wang tunai berjumlah RM5,319.

Semua suspek berdepan tindakan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.- MalaysiaGazette