Gambar hiasan

KANGAR – Golongan pesara yang menjadi mangsa penipuan dalam talian di Perlis pada tahun lepas, mencatatkan nilai kerugian besar iaitu RM1.05 juta.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, meskipun kes penipuan dalam talian di negeri itu membabitkan pesara hanya 31 kes namun jumlah nilai kerugian itu tinggi dan kebanyakan mereka terlibat dengan pelaburan tidak wujud selain terpedaya dengan panggilan palsu.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya juga memberikan perhatian kepada usaha mendekati golongan berkenaan untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap penipuan dalam talian.

“Antaranya kami akan ambil peluang bersama masyarakat melalui program khidmat bantuan bersama komuniti yang kami boleh panjangkan masalah ini (bercerita dan memberikan kesedaran mengenai isu penipuan dalam talian ini kepada masyarakat),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Gotong-royong Perdana Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan polis bersama masyarakat Perlis di Surau Haji Saari, Kampung Repoh di sini hari ini.

Mengenai keseluruhan kes penipuan dalam talian di Perlis, Muhammad berkata, 417 kes itu direkodkan di negeri tersebut sepanjang tahun lepas dengan nilai kerugian RM5.5 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata kes penyeludupan daun ketum ke negara jiran di Perlis kini berkurangan berbanding dahulu apabila kekerapan tangkapan kes itu menurun sekarang ini, bagaimanapun pihaknya sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk penguatkuasaan.

“(Untuk pemantauan dan penguatkuasaan di perairan) kami akan minta IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kangar sebab sempadan laut dengan sungai ini di bawah IPD Kangar, jadi OCPD (Ketua Polis Daerah) Kangar akan selaras berkaitan dengan sempadan laut ini,” katanya. – BERNAMA