Ahmad Zahid (kiri) ketika sidang media Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Satu rang undang-undang (RUU) baharu perlu dirangka bagi menghalang sebuah kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal pentadbiran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyarankan RUU itu berkata, ia penting dalam usaha mengelakkan sejarah pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan bersilih ganti dalam penggal yang sama berulang lagi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pengalaman lalu telah menyebabkan rakyat menjadi mangsa gara-gara politik negara yang tidak stabil.

“Saya ingin menyarankan supaya satu RUU dibentangkan bahawasanya, sekiranya sesebuah kerajaan itu diwujdukan sama ada sesebuah parti itu dominan atau gabungan parti itu dominan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka ia harus dikekalkan sehingga akhir penggal.

“Jika tidak, kita akan mengalami perkara yang pernah berlaku sebelum ini dan ia tidak baik untuk negara serta rakyat keseluruhannya,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau berkata demikian pada sidang media Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Perikatan Nasional masih lagi dalam usaha menjatuhkan kerajaan termasuk membabit nama Yang di-Pertuan Agong yang cuba dirasuahkan sebanyak RM1 bilion oleh pihak pembangkang.

Namun semalam Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan itu sambil menyifatkan sebagai fitnah melulu yang jelek, keterlaluan dan tidak masuk akal.

Beliau berkata, fitnah jahat itu disambut pula oleh beberapa tokoh Pakatan Harapan (PH) termasuk yang berjawatan di dalam kerajaan.

“Justeru saya mengingatkan pemimpin PH dan konco-konco gabungan itu supaya tidak mengheret institusi Raja Berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang jahat dan kotor itu,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya

Muhyiddin juga memberitahu Malaysia mempunyai peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan cara-cara serta kaedah yang sah dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan Kerajaan.

“Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebuah kerajaan dibentuk samada melalui pilihan raya atau di luar pilihan raya iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri meletakan jawatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berharap semua pihak perlu belajar daripada pengalaman lalu dan melihat bagaimana nasib rakyat tergugat disebabkan kemelut yang berlaku.

“Kita boleh bermain politik atau berbeza pendapat tetap untuk kepentingan negara, kita tidak harus menjadikan rakyat sebagai bahan uji kaji demi kepentingan nafsu politik dalam kalangan ahli politik. Cukuplah belajar daripada pengalaman lalu,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid turut ditanya mengenai derma RM500 juta dan RM750 juta yang dibangkitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 9 Januari lalu.

“Saya tidak ada maklumat tambahan, saya hanya membaca kenyataan perdana menteri melalui media,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast