Gambar Hiasan . Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2021.

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu ketika sedang leka bermain bola sepak di Padang Bola Tok Jembal di Kuala Nerus, Jumaat lepas.

Pengarah JIM Terengganu, Azhar Abd Hamid berkata, dalam serbuan sekitar 5.30 petang itu seramai 10 lelaki warga Myanmar dan tiga lelaki warga Bangladesh yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 55 tahun telah ditahan.

“Penahanan mereka adalah hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 59 warga asing yang ditemui di padang bola sepak berkenaan. Kesemua 13 PATI tersebut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

“Sebelum itu pada hari tersebut, kita jalankan Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) secara bersama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia di Dewan JPJ Terengganu di Bukit Kecil (di Kuala Terengganu), daripada operasi di situ kita dapat maklumat bahawa ada sekumpulan warga asing sedang bermain bola sepak di padang Tok Jembal,” katanya dalam sidang media di Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Azhar berkata, dalam serbuan Ops PeWA yang dijalankan Dewan JPJ Terengganu di Bukit Kecil, di sini, menyaksikan seramai enam PATI ditahan.

Katanya tangkapan melalui pemeriksaan terhadap 54 warga asing itu menyaksikan tiga lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki dari Myanmar ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah manakala seorang lelaki warga Kemboja ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.

Katanya, kesemua mereka kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen di Ajil di Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan lain Azhar berkata, sepanjang 2023, JIM Terengganu berjaya melakukan pemeriksaan terhadap 5,656 warga asing dan daripada jumlah itu seramai 1,226 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Selain itu seramai 2,132 warga asing yang berada di Depot Tahanan Imigresen di Ajil di Hulu Terengganu telah berjaya dihantar pulang ke negara asal,” katanya menambah sejumlah 6,855 warga asing di Terengganu telah didaftarkan di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 oleh 712 majikan.

Namun katanya, daripada jumlah warga asing itu, hanya sekitar 50 peratus yang telah melakukan pengecaman sistem biometrik.

“Program RTK ini telah berakhir pada 31 Dis lepas jadi kita minta majikan yang telah mendaftar itu segera membawa pekerja mereka ke JIM untuk melakukan pengecaman sistem biometrik. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian kita akan ambil tindakan termasuk mendakwa majikan,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast