KUALA LUMPUR – Penyanyi dan juga Komposer Faizal Tahir, berkongsi kisah duka tentang ibunya, Muzlipah Aishah Pawanteh, meninggal dunia pagi tadi.
Berita sedih itu dikongsi Faizal atau Ahmad Faizal Mohammad Tahir, menerusi Instagram yang memohon orang ramai mendoakan roh ibunya.
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.
“Rehatlah dan tenanglah di negeri abadi mama, cinta hati pertama saya. Mama dah buat yang terbaik untuk kami semua.
“Anak-anak masih ada urusan di dunia. Kami menyusul kemudian. Insya-Allah.
“Kepada yang mengenali ibu saya, Muzlipah Aishah Pawanteh, mohon dihalalkan segala makan minum dan diampunkan segala kekurangan dan salah silap selama dalam kenalan,” ciapnya.
Sementara itu, khabar duka itu turut dikongsi adiknya yang juga penyampai radio Zayan FM, Anas Tahir, yang mengenang kenangan bersama ibu tercinta terutama ketika Ramadan.
Difahamkan, jenazah allahyarham akan dibawa ke Masjid Puncak Alam untuk disolatkan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam selepas solat Zuhur. – MalaysiaGazette