KUALA LUMPUR – Aduan yang dibuat oleh peguam Datuk Seri Najib Razak supaya Netflix menghentikan tayangan dokumentari Man On The Run sememangnya berasas, kata Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Pemimpin UMNO itu berkata, banyak fakta salah dilaporkan dalam filem dokumentari tersebut selain prejudis, fitnah dan tidak adil terhadap bekas Perdana Menteri yang sedang dalam perbicaraan.
“Siapa sebenarnya Man On The Run? Tun Daim? Menantu Muhyiddin? Atau Tun M? Najib tidak pernah lari walaupun berhadapan dengan puluhan tuduhan. Dia tidak akan lari.
“Ada orang merasakan dirinya kebal. Tidak boleh didakwa. Sebab itu pihak berwajib tidak boleh bertolak ansur. Siasat walaupun usia mereka lanjut.
“Kheu Sampan kawan Pol Pot (bekas Perdana Menteri Kemboja) didakwa pada umur 91 tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Pada minggu lepas, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil supaya mengambil tindakan menurunkan dan melarang tayangan dokumentari bertajuk Man On The Run dalam platform penstriman, Netflix.
Muhammad Shafe berkata, dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu disifatkan fitnah, subjudis, prejudis terhadap anak guam (Najib) yang mana menghina mahkamah di dalam prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jelasnya, pihak yang diwawancara dalam dokumentari itu menyatakan pelbagai perkara terhadap anak guamnya yang antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah.
Muhammad Shafee menghantar surat kepada Fahmi, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Pengawal Selia SKMM, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin bertarikh semalam.
Dokumentari Man On The Run ditayangkan di Netflix melonjak ke tempat kedua dalam 10 Filem Terbaik platform penstriman di Malaysia.
Dokumentari mengenai 1MDB yang memberi penerangan tentang dakwaan bekas perdana menteri itu mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) ditayangkan pada 5 Januari. – MalaysiaGazette