Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berazam memulakan era baharu buat Harimau Selatan selepas mengumumkan penjimatan sehingga 40 peratus menjelang musim baharu 2024-25.

“Inilah masanya untuk melakukan sesuatu dengan senyap dan perbetulkan segalanya. Dalam diam saya akan membina semula kekuatan dan kembali lebih kuat dari sebelum ini,” tulis Tunku Mahkota Johor itu atau TMJ menerusi hantaran di laman Instagram miliknya.

Sebelum ini ketika mengakhiri tahun 2023, Tunku Ismail turut memuatnaik hantaran yang memperkenalkan sisi terbaiknya dan tidak akan ada yang mampu menghalangnya.

Sebelum ini, JDT mengumumkan langkah penjimatan dan melepaskan sejumlah pemain termasuk ayam tambatan, Fernando Forestieri, JDT namun tidak berdiam diri apabila memperkenalkan dua pemain antarabangsa baharu untuk musim baharu.

Perancang dari Argentina, Jalil Elias dan pemain tengah dari Portugal, Francisco Geraldes dibawa masuk untuk menyertai skuad kendalian Hector Bidoglio yang dinyatakan TMJ sebagai era baharu Harimau Selatan selepas mencipta gemilang para era sebelum ini.

Bagi musim 2024-25, JDT yang bakal bersaing dalam empat kejohanan – Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC Elite.

Ketika ini, seramai 14 pemain JDT kini sedang berada di Qatar menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 dengan 12 pemain di pasukan Harimau Malaya manakala masing-masing satu mewakili Indonesia dan satu lagi mewakili Syria.

Harimau Selatan juga bakal mengadakan kempen pra musim di Portugal dan Sepanyol dalam rangka mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan menimba lebih banyak pengalaman untuk dibawa ke saingan Liga Juara-Juara AFC Elite. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast