Perkhidmatan percuma selama dua hari yang disediakan Pemuda UMNO Kota Tinggi mendapat sambutan daripada mangsa banjir.

KOTA TINGGI – Kerosakan barangan elektrik yang dihadapi mangsa banjir di sini sudah pasti menyukarkan mereka kerana memerlukan kos bagi membeli peralatan baharu di rumah masing-masing.

Menyedari kesulitan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Kota Tinggi mengambil pendekatan memberikan perkhidmatan percuma membaiki barangan elektrik mangsa banjir yang rosak.

Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi, Mohamad Nazren Nasha Abu Samah berkata, sebanyak 120 barangan elektrik telah diterima sejak perkhidmatan percuma itu dibuka selama tiga hari lalu bermula semalam

Nazren Nasha

“Pusat Khidmat Rakyat Kota Tinggi menyediakan perkhidmatan percuma ini untuk orang awam khususnya di bawah Parlimen Kota Tinggi yang terjejas banjir untuk menghantar barang elektrik mereka untuk betulkan secara percuma.

“Kita tahu kalau hantar ke kedai dan kalau barang tidak rosak boleh pakai semula jadi boleh menjimatkanlah dengan kos-kos yang terpaksa ditanggung oleh mangsa-mangsa.

“Sambutan amat menggalakan jadi kita beri satu rumah maksimum dua barang contoh peti ais dan mesin basuh.

“Kerana kalau boleh kita nak maksimumlan dan bantu lebih banyak kita bantu,” katanya ketika ditemui di Kota Tinggi di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk Taman Mawai 2, Anita Ramli, 55,  mengakui perkhidmatan yang disediakan itu amat membantu mangsa banjir sepertinya.

Anita Ramli

“Saya nak baiki peti ais kerana saya lihat masa api hidup dia (mesin basuh) nak dihidupkan tak boleh.

“Saya lihat dalam Facebook. Saya memang nak hantar mesin basih tetapi tengok dahulu kalau mekanik boleh buat saya hantarlah.Baguslah begini. Membantulah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk terjejas banjir, Zaini Ngah, 55, juga tidak melepaskan peluang untuk menghantar barang elektrik yang rosak untuk dibaiki.

Zaini Ngah

Katanya,langkah memberi perkhidmatan percuma itu sudah pasti membantu golongan sepertinya yang berpendapatan sederhana.

“Mesin basuh rosak, bahagian  bilas itu kalau kita keringkan dia sama sahaja.

“Sangat-sangat bersyukurlah kerana wang pun berkurang dan ada perkhidmatan ini Alhamdulillah,” katanya lagi.

Parlimen Kota Tinggi sebelum ini memperuntukkan kira-kira RM60,000 untuk perkhidmatan yang disediakan sayap parti  itu.- MalaysiaGazette