Kebanyakan bas sekolah ada bas 'pencen'. - Gambar hiasan

MELAKA – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan pesatuan bas sekolah untuk menaikan kadar tambang bagi sesi persekolahan penggal baharu Mac ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, setakat ini MOT tidak mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu dengan mana-mana persatuan atau operator bas sekolah.

“Semua ini (kenaikan tambang) mestilah dikaji sebab semuanya mempunyai impak terutamanya ibu bapa.

“Jadi kita belum keluarkan apa-apa keputusan tentang (kenaikan)…cadangan itu macam-macam ada tapi ia masih dikaji lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di Tiang Dua di sini hari ini.

Hasbi Habibollah

Perasmian disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Rospiagos Taha.

Terdahulu, Hasbi dalam ucapannya berharap pembangunan infrastruktur litar dan pembangunan kompetensi pemanduan selamat itu akan meningkatkan kapasiti dan standard kompetensi JPJ.

“Inisiatif ini juga merupakan usaha kerajaan dalam melahirkan pemandu kenderaan bermotor yang kompeten dan selamat.

“Ia seterusnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya dan pembudayaan keselamatan jalan raya,” katanya.

Media semalam melaporkan tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka akan meningkat susulan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan jentera yang meningkat sehingga 80 peratus.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia Amali Munif Rahmat dilaporkan berkata, peningkatan selepas kerajaan sudah tidak mengawal tambang bas sekolah dan ia mengikut kepada pasaran sejak 2015. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast