Foto Facebook PasRelief.

KUALA LUMPUR – PasRelief telah menyumbangkan sebuah perigi air dengan kos sebanyak RM3,700 di Uganda bagi membolehkan masyarakat setempat mendapatkan bekalan air yang bersih.

Pengarah PasRelief, Mohd. Yusni Mat Piah berkata, bantuan itu dilaksanakan di sebuah kawasan komuniti Islam di Kitamoli yang begitu daif dengan keperluan asas.

“Di sini tiada kemudahan awam seperti elektrik dan air. Jadinya masyarakat di sini sangat sukar untuk mendapatkan kemudahan bagi keperluan seharian dan beribadah.

“PasRelief terus membuka sumbangan buat seluruh rakyat Malaysia untuk kita sama-sama menyumbangkan lagi perigi air buat komuniti Muslim di Uganda,” katanya dalam satu hantaran PasRelief.

Pengarah PasRelief, Mohd. Yusni Mat Piah. Foto Facebook PasRelief.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusni turut berkongsi pengalaman menunaikan solat dalam masjid yang agak daif.

Ini kerana, katanya, struktur binaan masjid hanya menggunakan daun-daun pisang untuk membuat dinding bangunan.

Beliau menambah, PasRelief turut mengagihkan bantuan keperluan kepada penduduk setempat di mana terdapat lebih kurang 25 hingga 30 peratus populasi Muslim yang menetap di Uganda.

Agihan bantuan itu telah mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Warga Cakna dan NGO tempatan iaitu Muslim Orphans Care Community Organization.

“PasRelief mengajak semua dermawan khususnya masyarakat Islam di Malaysia untuk sama-sama kita membiayai projek pembinaan masjid di kampung ini untuk kemudahan komuniti saudara sesama Islam kita di bumi Uganda.

“Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank, Tabung Kemanusiaan PASRelief: 5640 7061 4481 atau melalui: https://infaqpay.my/plus/tabung-bantuan-palestine-pasrelief.

“Segala maklumat lanjut boleh hubungi hotline PasRelief di talian 017-500 1144,” katanya.

PasRelief merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa Pas yang bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara.

Sebelum ini, PasRelief turut menyalurkan bantuan awal kecemasan bernilai RM100,000 kepada penduduk Palestin yang terkesan dengan insiden serangan Israel sejak Oktober lalu.

Mereka menyumbang bekalan diesel untuk memastikan generator dapat dihidupkan bagi membekalkan tenaga elektrik di Hospital Europe, Gaza City, Palestin selepas dibedil rejim zionis itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast