KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah semakan kehakiman yang dibuat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bersama keluarganya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, hakikatnya siasatan yang sedang dijalankan oleh suruhanjaya tersebut terhadap Daim dan keluarganya itu tidak boleh dicabar.
Jelasnya, andainya semakan kehakiman itu dibenarkan maka siasatan yang sedang dilakukan itu akan terjejas dan tidak akan selesai.
“Penyiasatan jenayah tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman malah dalam beberapa prosiding mahkamah sebelum ini sudah memutuskan permohonan sedemikian akan membuka kepada lebih banyak ruang untuk mencabar setiap pelaksanaannya.
“Ini juga akan membawa kepada keadaan huru hara,” katanya pada prosiding pendengaran pertama di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini.
Shamsul juga berhujah pembekuan akaun adalah sebahagian daripada kuasa penyiasatan yang diberikan kepada SPRM mengikut perundangan negara.
Pada 10 Januari lepas, Daim bersama keluarganya memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan SPRM melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas.
Selain Daim, turut memohon ialah isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan empat anak mereka iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta Ilham Tower Sdn Bhd, manakala SPRM dan Pendakwa Raya selaku responden.
Jika semakan kehakiman ini mendapat kebenaran mahkamah, SPRM dan pegawainya perlu menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Bagaimanapun peguam mewakili keluarga Tun Daim, Tan Sri Tommy Thomas berhujah anak guamnya tidak melakukan apa-apa kesalahan bawah Sesyen 23 Akta SPRM dan sehingga kini tidak ada sebarang alasan munasabah untuk menyokong dakwaan tersebut.
Malah kata Tommy, SPRM telah bertindak secara tidak sah dengan mengeluarkan 36 notis di bawah Seksyen 36(1) Akta kepada Daim dan ahli keluarganya supaya mendedahkan segala maklumat berkaitan harta kekayaan mereka.
Jelas Tommy, dalam kertas Pandora tiada kesalahan didakwa dilakukan Daim mengikut undang-undang Malaysia.
Dalam afidavitnya, Daim mendakwa beliau adalah seorang ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.
Pada bulan lepas, SPRM menyita Menara Ilham milik sebuah syarikat di bawah kawalan keluarga Daim iaitu isteri serta anak-anak mereka, Amin dan Amir.
Hakim Wan Ahmad Farid menetapkan 4 Mac depan bagi menyampaikan keputusan berkaitan semakan kehakiman tersebut. – MalaysiaGazette
Aikkk siasat pun nak kena halang? Dah kenapa? Salah tak salah bukan SPRM yg tentukan tp mahkamah…kenapa nak special treatment plak siap tak blh disiasat…mcm bagus plak halang SPRM siasat…peguam Tommy Thomas? Ex AG yg bebal iktiraf Sulu tu kaaa