Matthew Davies (dua dari kiri). Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Kapten Harimau Malaya, Matt Davies mengakui kegagalan skuad kebangsaan untuk menyekat gol pertama Jordan memberi impak terhadap gaya permainan mereka.

Bek kanan itu berkata, jaringan awal itu ‘membunuh’ semangat rakan-rakan yang sepatutnya boleh memberi persembahan lebih baik.

“Bukan sahaja keputusan, tetapi persembahan juga sedikit mengecewakan kami. Saya juga melihat kita bermain dengan terlalu terbuka dan terlalu agresif ketika cuba mendapatkan bola,” katanya dalam rakaman video Astro Arena selepas perlawanan berakhir.

Dalam perlawanan tersebut, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilihat bergelut sehingga menghadiahkan penalti kepada pihak lawan pada separuh masa pertama permainan.

Pagi tadi, skuad kebangsaan memulakan kempen Piala Asia 2023 dengan langkah kiri apabila tewas 0-4 kepada Jordan di Stadium al-Janoub, Qatar.

Dua gol daripada Mahmoud al-Mardi dan dua lagi daripada Musa al-Taamari itu menyaksikan pasukan kebangsaan kini berada di tangga tercorot.

Kemenangan tersebut menyaksikan Jordan kini berada di tangga teratas Kumpulan E dengan mereka bakal berdepan juara dua kali pertandingan itu, Korea Selatan dengan kedua-dua perlawanan bakal berlangsung pada Sabtu ini.

Selepas ini, skuad kebangsaan akan berdepan Bahrain yang turut pulang dengan tangan kosong daripada aksi pembukaan mereka setelah tewas kepada Korea Selatan dengan keputusan 3-1. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast