JERUSALEM – Hamas mengesahkan bahawa operasi Ra’anana yang dilancarkan oleh rakyat Palestin adalah tindak balas balas mereka terhadap kekejaman dan kezaliman ala Nazi yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.
Memetik laporan Palestinian Information Center, Hamas berkata, rakyat serta pejuang pembebasan Palestin dari Rafah ke Jenin akan meneruskan usaha mempertahankan diri, tanah dan rumah-rumah ibadat mereka daripada pencerobohan Israel.
“Darah kanak-kanak dan orang awam yang tidak berdosa yang ditumpahkan oleh tentera Israel di Tebing Barat dan Gaza akan menjadi sumpahan buat mereka dan pendatang Yahudi.
“Mereka tidak akan selamat bila berada di tanah kami yang diceroboh,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamas turut menyeru golongan muda di Tebing Barat dan Jerusalem untuk bangkit menentang tentera rejim Zionis Israel.
Gerakan pembebasan Palestin itu menggesa mereka meningkatkan penentangan sehingga rejim Zionis Israel ditewaskan dan Palestin beroleh kemerdekaannya semula.
Media antarabangsa melaporkan, seramai seorang pendatang Yahudi cedera manakala 17 lagi cedera dalam dua serangan oleh rakyat Palestin di Ra’anana, Tebing Barat, semalam.
Mereka menggunakan kereta untuk melanggar semua pendatang Yahudi terbabit. – Agensi