MELAKA – Seorang penolong pegawai persekitaran didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini kerana menyalahgunakan kedudukannya dengan memberi projek kepada syarikat  adiknya berjumlah RM19,663, enam tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin, Ab. Hanif Ab. Hamid, 43, mengaku bersalah bagi tiga daripada sembilan pertuduhan pilihan.

Mengikut tiga kertas pertuduhan pilihan,  tertuduh telah mendapatkan perkhidmatan pembekalan daripada Kerajaan Malaysia bagi pembelian peralatan tandas, racun dan mesin rumput berjumlah keseluruhan RM19,663.50 kepada Perniagaan Thronez Enterprise milik adiknya.

Kesalahan itu dilakukan di Unit Bekalan dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS), PKD Jasin dalam daerah Jasin antara 4 Julai hingga 2 November 2018.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kesalahan itu melibatkan projek kerajaan.

Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin bagaimanapun merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana menghidap penyakit saraf kronik serta memerlukan rawatan, selain berdepan tindakan diberhentikan kerja.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan pilihan atau enam bulan penjara jika gagal bayar dan mempertimbangkan pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast