Penemuan najis tikus punca sebuah restoran makanan Arab di Lebuh Chulia, Pulau Pinang diarah tutup selama 14 hari.

GEORGE TOWN – Sebuah restoran makanan Arab di Lebuh Chulia di sini diarah tutup selama 14 hari susulan penemuan najis tikus di bahagian stor penyimpanan bahan masakan.

Malah pemeriksaan pegawai penguatkuasa Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut mendapati berlaku pencemaran silang susulan bahan makanan di alas dengan kertas bercetak selain makanan mentah dan siap dimasak disimpan bersama.

Bawani.

Pengarah Jabatan Pelesenan MBPP, M. Bawani berkata, tiga notis termasuk perintah penutupan selama 14 hari sehingga 30 Januari ini dikeluarkan selepas pemeriksaan pihaknya mendapati aspek kebersihan di premis itu sangat tidak memuaskan.

“Semasa pemeriksaan kita dapati telur dan lain-lain makanan diletakkan bersama cat serta bahan pencuci.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut juga mendapati  tahap kebersihan dapur iaitu di tempat memasak berada dalam keadaan tidak memuaskan.

“Dalam pemeriksaan sama, pihak pengurusan premis juga gagal menunjukkan Kad Suntikan Vaksin Anti-Tifoid apabila diminta,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.

Notis penutupan itu diberikan agar pemilik perniagaan membersihkan premis mereka dalam tempoh tersebut.

Terdahulu ketika operasi sedang berlangsung  pengurus premis dilihat tidak berpuas hati dengan pemeriksaan sebelum dia ditenangkan dan diberi penerangan oleh pihak penguat kuasa.

Sementara itu, dalam pemeriksaan berasingan, dua lagi iaitu premis nasi kandar dan restoran masakan India di Pulau Tikus turut diberi notis penutupan susulan penemuan najis tikus di bahagian dapur.

Bawani berkata, dua premis terbabit sudah menerima beberapa kompaun sebelum ini namun didapati tidak ada perubahan atau langkah diambil pemilik premis.

“Kesemua premis berkenaan dikenakan tindakan mengikut Undang-undang Kecil 38(1) Undang-undang Kecil (Establisymen Makanan) MBPP 1991,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast