Koperal Mazlan ketika ditemu bual menerusi panggilan video di Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – Pengalaman dalam pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mendedahkan asas menyelamat digunakan Koperal Mazlan Abdul Rahman, 35, ketika menyelamatkan dua mangsa yang terjatuh dalam laut di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang pada Isnin lalu.

Berkongsi kisah itu, Mazlan dari Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara di sini berkata, dia nekad terjun dari ketinggian 15 meter itu hanya untuk menyelamatkan nyawa dua insan yang ketika itu sedang terkapai-kapai meminta pertolongan.

Jelas bapa kepada dua cahaya mata itu, tiada apa dalam fikirannya ketika itu selain mahu menyelamatkan nyawa manusia dalam bahaya yang selama ini diterap dalam pasukan.

Mazlan.

“Ketika kejadian saya baru selesai tugas dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Petani, Kedah namun ramai orang awam berhenti di atas jambatan yang mana saya fikir ada kemalangan tetapi rupanya ada individu terjatuh dalam laut.

“Saya memberhentikan motosikal sebelum lihat dua orang sedang terkapai-kapai meminta pertolongan di permukaan laut bawah jambatan itu dan mungkin Allah SWT gerakkan hati saya sama tanpa fikir panjang terus saya bertindak terjun menyelamatkan mereka.

“Tindakan saya itu spontan meskipun penat baru balik kerja tapi dalam masa sama saya gunakan stamina serta asas menyelamatkan dalam kursus tempur yang diajar pasukan TDM untuk menyelamatkan mereka,” katanya dalam satu temu bual menerusi panggilan video di Kem Sungai Ara di sini.

Menurut Mazlan, dia menyelamatkan mangsa lelaki dan disusuli dengan mangsa kedua iaitu wanita sebelum berpaut hampir 20 minit di salah satu tiang jambatan yang berhampiran sementara menunggu bantuan daripada pasukan penyelamat.

“Saya cuba untuk panjat dan tempatkan mangsa di atas tiang jambatan agar lebih selamat namun ketinggian tiang itu menyukarkan proses tersebut jadi saya ambil keputusan untuk berpaut di bahagian bawah tiang sementara bantuan tiba.

“Memang boleh dikatakan kekuatan dan keberanian itu datang dari Allah SWT kerana keadaan laut ketika itu bergelora, arus deras dan saya perlu pastikan kedua-dua mangsa tidak hanyut selain obor-obor turut menyerang saat itu.

“Syukur semua kami selamat sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan saya hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tapak kaki serta bahagian belakang badan akibat disengat obor-obor,” katanya.

Tangkap layar menunjukkan Koperal Mazlan menyelamatkan mangsa terjatuh laut dari Jambatan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut Jurulatih Jasmani dan Sukan Kem Sungai Ara itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi TDM yang tidak putus-putus bertanyakan khabar selain memberi sokongan moral.

“Ini yang dikatakan kebajikan anggota TDM tidak pernah diperkotak-katikan kerana pada awalnya mereka (pengurusan ATM) dapat maklumat saya yang terjatuh dalam laut dan berita itu bertiup kencang apabila semua panggilan ke atas saya tidak dijawab susulan telefon bimbit ditinggalkan di motosikal sebelum saya bertindak terjun.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital maklumat sebenar telah disampaikan dan pimpinan TDM pula merakamkan penghargaan terhadap saya atas tindakan yang dilakukan.

“Bagi saya sebagai anggota yang berkhidmat dalam pasukan TDM semestinya nyawa setiap manusia sangat berharga dan kita perlu selamatkan sesiapa dalam bahaya dengan keupayaan yang ada,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang anggota tentera sanggup menggadai nyawa selepas nekad terjun dari Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai di sini untuk menyelamat satu pasangan lelaki dan wanita yang terjatuh ke dalam laut.

Susulan itu, Polis Pulau Pinang membuka kertas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh berhubung kes terbabit susulan wanita berusia 40 tahun itu mendakwa ditolak rakan lelakinya ketika mereka sedang bertengkar di atas jambatan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan mangsa lelaki berusia 37 tahun yang juga pegawai kanan polis kontinjen luar Pulau Pinang itu masih menerima rawatan di hospital akibat kecederaan pada kepala. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast