KUALA LUMPUR – Aktiviti ulang alik empat buah lori yang diubahsuai bagi mengisi diesel dalam kuantiti yang banyak di sesebuah stesen minyak menjadi modus operandi sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi itu di sekitar Ampang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, dalam menerusi Ops Tiris 3.0, pihaknya menahan lima individu di sebuah premis di Jalan Chan Sow Lin, di sini, yang dijadikan stor bagi menyimpan diesel bersubsidi.

“Risikan telah dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman lebih kurang satu minggu dan mendapati terdapat empat buah lori bonded 5 tan berulang kali membeli diesel di stesen minyak sekitar Ampang, Selangor.

“Maklumat risikan mendapati premis ini telah beroperasi lebih kurang sebulan yang lalu iaitu sekitar pertengahan bulan Disember 2023.

“Hasil maklumat diperolehi mendapati pembelian yang dilakukan oleh lori-lori bonded ini melibatkan 20 buah stesen minyak di sekitar Ampang, Selangor,” katanya dalam sidang media di KPDN KL, hari ini.

Menurut Ariffin, diesel yang dibeli akan dikumpulkan di lokasi kejadian sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk dibawa ke stor berkenaan sebelum dihantar ke kawasan luar ibu negara.

Tambah beliau, dalam operasi yang dilakukan itu pihaknya merampas 44,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM94,600 dan nilai keseluruhan dianggarkan bernilai RM300,000.

“Sebanyak lima orang warganegara tempatan telah ditahan bagi tujuan siasatan, empat orang darinya merupakan pemandu lori dan seorang merupakan pekerja di stor tersebut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urusniaga barang kawalan tanpa memiliki lesen yang sah dan juga disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan,” katanya.

Ariffin berkata, pihaknya percaya aktiviti itu dijalankan secara bersindiket serta mengawal kawasan tertentu.

Jelas beliau, sindiket itu digerakkan dengan membuat pembelian diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak dalam kawasan tertentu yang mana bagi kes tersebut semua pembelian dilakukan di kawasan Ampang, Selangor sahaja.

Sementara itu, Ariffin berkata, KPDN KL telah membuka 10 kertas siasatan melibatkan 15 tangkapan dibawah Ops Tiris pada tahun lalu, melibatkan rampasan 135,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM290,250. – MalaysiaGazette