Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

KUALA LUMPUR – Permohonan pasukan pembelaan mewakili bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang telah menerima pernyataan saksi utama, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penyataan itu akan digunakan untuk mencabar kredibiliti ahli perniagaan tersebut yang merupakan saksi ke-23.

Pada sebutan kes hari ini di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan tentang penyerahan dokumen pernyataan tersebut.

Perkara itu turut disahkan peguam Guan Eng, Haijan Omar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Berikutan itu, Azura menetapkan pendengaran pada 26 dan 27 Februari depan.

Pada 9 Januari lalu, mahkamah membenarkan sebahagian pernyataan Zarul Ahmad yang direkodkan SPRM boleh digunakan pada prosiding mencabar kredibilitinya.

Hakim itu memerintahkan pasukan pendakwaan menyerahkan 31 daripada 108 muka surat kepada pihak pembelaan untuk digunakan pada prosiding akan datang.

Pernyataan saksi dipohon Guan Eng bagi membolehkan pihaknya jika wujud percanggahan kenyataan oleh Zarul Ahmad yang direkodkan SPRM bagi kes ahli perniagaan, G Gnanaraja, di Mahkamah Shah Alam dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen, di sini.

Isu kredbiliti saksi itu timbul pada prosiding lepas apabila pembelaan mendapati keterangan Zarul Ahmad berubah berhubung isu wang RM2 juta masing-masing untuk Guan Eng dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diberikan melalui Gnanaraja selaku orang tengah pada 2017.

Gobind ketika berhujah ketika itu memberi bayangan bahawa Zarul Ahmad menipu kerana pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu oleh saksi-saksi lain bahawa penyerahan hanya melibatkan wang sebanyak RM2 juta dan bukan RM4 juta.

Guan Eng sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM3.3 juta sebagai tindakan membantu Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZBUCG) milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast