MELAKA – Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas enam pertuduhan merogol dan mencabul dua anak tirinya sejak tahun lalu.
Tertuduh berusia 28 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah bapa tiri kepada dua kanak-kanak berusia 14 dan 16 tahun telah melakukan amang seksual fizikal kepada mereka secara berasingan pada tarikh berbeza antara Jun 2023 hingga 2 Januari lalu.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16A akta sama.
Tertuduh turut didakwa merogol dua kanak-kanak sama secara berasingan pada tarikh sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun sehingga 20 tahun dan hendaklah dihukum dengan maksimum 10 sebatan.
Semua kesalahan itu dilakukan di Rumah Pangsa Lereh, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah, di sini, antara Jun 2023 hingga 2 Januari lalu.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM30,000 bagi empat pertuduhan manakala dua pertuduhan lagi tidak ditawarkan jaminan.
Peguam Nur Aifaa Mohd Zain bagaimanapun tidak membuat rayuan kerana anak guamnya tidak mampu menyediakan wang jaminan.
Hakim Darmafikri kemudian mengarahkan tertuduh dibawa ke penjara dan menetapkan 27 Februari ini sebagai sebutan semula kes.
MalaysiaGazette pada 10 Januari lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 27 tahun diberkas polis selepas didakwa menjadikan dua anak tirinya sebagai hamba seks sejak lima tahun lalu.
Perbuatan keji itu dikatakan berlaku ketika isterinya berusia 39 tahun tiada di rumah kerana mencari rezeki berniaga burger dan hanya terbongkar apabila mangsa menceritakan perbuatan itu kepada ibunya minggu lalu. – MalaysiaGazette