Mohammad Shahil Ishak dan Ye Haoliang berjabat tangan selepas bertukar-tukar perjanjian kontrak melaksanakan sebuah projek bersepadu pengeluaran dan penyimpanan hidrogen hijau menggunakan ladang fotovoltaik terapung di Perak.

KUALA LUMPUR – China Hydropower (Malaysia) Co., Ltd., sebuah anak syarikat PowerChina, dan Semarak Renewable Energy Sdn. Bhd. (SR baru-baru ini memeterai perjanjian untuk melaksanakan sebuah projek bersepadu pengeluaran dan penyimpanan hidrogen hijau menggunakan ladang fotovoltaik terapung di Perak.

Projek bernilai RM1.883 bilion ini melibatkan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Perjanjian yang bakal melakar sejarah baharu dalam penggunaan tenaga lestari di Malaysia ditandatangani oleh Mohammad Shahil Ishak, Pengerusi Semarak Renewable Energy dan Ye Haoliang, Penolong dan Timbalan Pengurus Besar di Ibu Pejabat Wilayah Asia-Pasifik PowerChina.

Sebelum majlis menandatangani perjanjian tersebut, kedua-dua pihak juga mengadakan perbincangan bagi mengukuhkan komitmen mereka dalam memaksimumkan penggunaan sumber bagi manfaat bersama.

Menurut Ye Haoliang, projek ini dilaksanakan dengan memberikan keutamaan kepada penjagaan ekologi dan pembangunan hijau apabila ia menggunakan kawasan tasik bijih timah yang terbiar, sekali gus membantu menjayakan transformasi hijau serta ke arah pelepasan rendah karbon di Malaysia.

Mohammad Shahil pula menyatakan penghargaannya kepada PowerChina kerana kesediaannya untuk bersama-sama menjayakan projek ini.

PowerChina, bersandarkan kepakarannya dalam sektor tenaga baharu, memberikan jaminan untuk menyegerakan perancangan dan pembinaan projek ini, sambil menyatakan komitmen tinggi mereka untuk membantu Semarak menjadi perintis dalam industri hidrogen hijau Malaysia.

Pelaksanaan projek yang melibatkan reka bentuk, pemerolehan dan pembinaan fotovoltaik terapung, unit pengeluaran hidrogen, dan unit penyimpanannya merupakan pencapaian penting PowerChina di Malaysia dalam penghasilan tenaga fotovoltaik dan hidrogen selain syarikat perkhidmatan tenaga bersih global yang terkemuka.

Sejak memasuki pasaran Malaysia pada tahun 1993, PowerChina melaksanakan lebih daripada 150 projek dengan nilai kontrak melebihi AS$7 bilion.

Projek-projek tersebut termasuklah Stesen Hidro kuasa Bakun, Stesen Hidro kuasa Hulu Terengganu, Cawangan Universiti Xiamen Malaysia, Pusat Konvensyen dan Pameran Sabah, dan Projek Fotovoltaik Berskala Besar Terengganu Majiang yang berperanan penting menggalakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan ChinaMalaysia. – MalaysiaGazette