KUALA LUMPUR – TV AlHijrah membuka tirai tahun baharu 2024 dengan dengan nafas baharu menerusi pengisian program-program terbaik sepanjang tahun untuk penonton setia stesen televisyen milik kerajaan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, stesen itu telah melabuhkan tirai tahun 2023 dengan pelbagai kejayaan dan rekod terbaik yang berjaya dicapai.
Menurut beliau, tahun lalu menyaksikan TV AlHijrah kekal menjadi saluran Islamik nombor satu di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.
“TV AlHijrah berada di kedudukan top 5 daripada semua saluran semasa kempen #PalestinKembali diadakan lantas menjadikan prestasi TV AlHijrah pada masa ini adalah paling tinggi sejak penubuhan TV AlHijrah 13 tahun yang lalu.
“Selain itu, stesen ini melalui data AC Nielsen menjadi pilihan utama penonton sepanjang Ramadan, Syawal, Haji, Awal Muharam dan Maulidur Rasul tahun lalu.
“Sebagai rekod, program-program menarik lain yang telah mencatatkan capaian penonton tertinggi 2023 ialah rancangan Assalamualaikum yang berjaya mencapai 12.5 juta screenview sepanjang tahun.
“Berita AlHijrah pula berjaya mencapai sebanyak 7.3 juta screenview. Quran@114 juga cemerlang dengan pencapaian screenview 7.3 juta setahun dan Pentas Marhaban dengan 3.2 juta screenview,” katanya pada sidang media Program Pembuka Tirai 2024 semalam.
Mengulas lanjut, Namanzee memberitahu, bagi tahun ini, TV AlHijrah bermula dengan kompetitif apabila berada di tangga lima teratas saluran TV di Malaysia pada awal Januari 2024.
Justeru katanya, stesen itu masih lagi mengekalkan konsep hiburan berilmu dengan meneroka format baharu rancangan Islamik tanpa menepikan pemerhatian khusus kepada tiga kunci utama penyiaran iaitu patuh syariah, kreatif dan popular.
Oleh yang demikian, menurutnya, program Akademi Qurra’ 2024 bakal ditayangkan bermula 20 Januari pada setiap Sabtu pukul 9.00 malam.
“Program ini kembali di musim baru setelah kejayaan mendapat 4.4 juta tontonan screenview secara keseluruhan di musim pertama siarannya.
“Ujibakat hibrid yang berlangsung hampir sebulan Disember lalu menyaksikan 12 orang qari qariah berbakat, lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dipilih sebagai role model yang berpotensi mentarbiah serta melahirkan masyarakat penonton yang cintakan al-Quran dan seni persembahannya.
“Dua mudarrisah baru diperkenalkan iaitu Mudarrisah Suhailah Zulkifly serta Mudarrisah Nadia Hashim manakala, Mudarris Amar Mukhlis masih dikekalkan,” ujarnya.
Namanzee menambah, TV AlHijrah turut membariskan rancangan terbaik lain tahun ini antaranya ialah Riwayat Akhir Zaman, Quran@114 dan Carta 114 di mana ke semua program ini membaja ilmu, iman serta ketakwaan kepada Sang Pencipta.
Tidak dilupakan katanya, bagi penggemar rancangan 30 Minit Bersama, tahun ini TV AlHijrah membawakan pendakwah yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Datuk Shamsuri Ahmad untuk memandu perbahasan Kitab Bahrul Mazi.
“Ia merupakan huraian Syeikh Idris al-Marbawi terhadap hadis Rasulullah SAW yang dipilih daripada kitab Sunan al-Tirmidzi. Program ini akan bersiaran setiap hari Selasa pukul 8:30 malam,” katanya.
Namanzee turut berkongsi,rancangan terbaik TV Alhijrah turut boleh dinikmati pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) selain di platform televisyen dan aplikasi AlHIjrah Plus,
“Alhamdulilah, kini rancangan-rancangan terbaik TV AlHijrah turut boleh dinikmati para penumpang yang menggunakan ETS untuk perjalanan utara ke selatan tanah air dan sebaliknya.
“Bukan itu sahaja, untuk pastikan penumpang perkhidmatan ETS menikmati pengalaman dunia penyiaran di dalam perjalanan mereka, ETS Istimewa ini kita datangkan dengan look & feel program-program kita dari segi hiasan dalaman mahupun luaran.
“Saya cadangkan, ambil masa dan berkelanalah bersama yang tersayang menaiki ETS TV AlHijrah kerana emakin banyak tempat dijejak, semakin banyak yang dipelajari serta semakin banyak pengalaman dilalui,” katanya.
Sebagai tambahan, aplikasi AlHijrah Plus yang memiliki lebih 8,000 kandungan tersedia dan secara langsung juga telah dimuat turun oleh 100,000 pemuat turun dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.
Kesemua negara ini juga merupakan antara negara yang tertinggi menonton AlHijrah Plus Live TV. – MalaysiaGazette