Wan Khairul Aslam Wan Mat, 33, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan merempuh kenderaan dan menyerang anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan dua minggu lalu.

MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan merempuh kereta dan menyerang anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan dua minggu lalu.

Tertuduh, Wan Khairul Aslam Wan Mat, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan cara mengundur kereta dipandu dan melanggar kereta dipandu Sarjan Muhammad Haniff Hashim sehingga menyebabkan kerosakan bernilai RM2,358.15.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada setahun sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK).

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh juga telah menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah kepada anggota polis yang sedang menjalankan kewajipan sehingga menyebabkan kecederaaan terhadap Lans Koperal Alif Danial Hermi.

Kesalahan di bawah Seksyen 353 KK itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu berlaku di Lorong Kekwa 11, Peringgit, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 4.45 pagi 4 Januari lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM10,000 dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Tertuduh yang diwakili peguam Ishak Kari bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 selain merancang untuk berkahwin tahun ini.

Majistret Khairunnisak pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM 4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast