Suspek terlibat dalam kes pecah rumah dan mencuri kenderaan di Bandar Baru Ampang, Selangor, di sini, pada Selasa lalu.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan mencuri sebuah kereta di Bandar Baru Ampang, Selangor, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihak polis menerima satu laporan daripada seorang kontraktor berusia 28 tahun pada jam 7.30 pagi pada Isnin lalu.

“Mangsa mendapati pintu hadapan rumah dan pintu gerigi besi dalam keadaan terbuka.

“Dia turut buat pemeriksaan dalam rumah dan mendapati beg dompet mengandungi dokumen penting, wang tunai dan kunci kereta Proton Saga tiada di atas meja bahagian ruang tamu.

“Kemudian pengadu membuat semakan di kawasan parkir dan mendapati kereta Proton Saga milikinya tiada di lokasi tersebut dan disyaki dicuri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, berikutan itu, penahanan lelaki berusia 29 tahun itu membawa kepada rampasan sebuah kereta Proton Saga, kunci kereta, pelbagai jenis kunci, tujuh gulung wayar dan satu dompet mengandungi dokumen penting bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis “Meth” dan “Amp”.

“Semakan mendapati suspek yang merupakan seorang penganggur mempunyai 15 rekod lampau jenayah dan dadah.

“Permohonan reman suspek dipohon di Mahkamah Ampang, semalam,” ujarnya.

Menurut Mohd Azam, kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah bagi tujuan melakukan curi dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. – MalaysiGazette