KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan merobohkan deretan gerai ikan singgang di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Kuala Lumpur pada 22 Januari ini.
Susulan itu, seramai 26 penjaja gerai singgang di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Kampung Baru, di sini akan berpindah di lokasi baharu iaitu Medan Selera Singgang MADANI@Batu Bata, Titiwangsa.
DBKL berkata, Kerja-kerja itu bagi menyediakan lokasi baharu yang lebih kondusif dan dikenali dengan nama Medan Selera Singgang Madani @ Batu Bata.
Untuk rekod, lokasi ini dahulunya dikenali dengan nama Medan Selera Damai @ Batu Bata.
DBKL berkata, lokasi baharu penjaja gerai ikan singgang akan memberi lebih keselesaan kepada penjaja dan pengunjung, disebabkan lokasi gerai di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1 adalah bersebelahan dengan Pusat Sementara Penyembelihan Ayam yang boleh menimbulkan bau kurang menyenangkan kepada pengunjung ditambah keadaan kebersihan di sekitar kawasan perniagaan yang tidak memuaskan.
Tapak tersebut juga terbabit dengan pelaksanaan projek pelebaran jalan.
Menurutnya, DBKL telah mengeluarkan notis pemakluman pengosongan tapak sejak Oktober 2023 di mana kesemua penjaja dikehendaki mengosongkan tapak selewat-lewatnya pada 31 Disember 2023.
Notis peringatan juga telah dikeluarkan kepada semua penjaja pada Januari 2024.
Selain itu, beberapa sesi libat urus di antara DBKL dengan penjaja gerai ikan singgang telah mula diadakan sejak tahun 2021 untuk membincangkan tawaran dan insentif kepada penjajapenjaja gerai ikan singgang bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka setelah berpindah ke lokasi baharu.
Antara insentif yang bakal diterima oleh penjaja adalah pengecualian sewaan selama tiga bulan kepada penjaja-penjaja setelah berpindah ke Medan Selera Singgang Madani @ Batu Bata dan pelaksanaan kerja-kerja pengindahan dan pencahayaan di laluan
pejalan kaki dari stesen LRT Titiwangsa ke medan selera bagi tujuan keselamatan khususnya pengunjung gerai.
Katanya, pertukaran nama baharu itu juga bagi mengekalkan jenama ikan singgang yang merupakan lokasi utama peminat ikan singgang di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette