KUALA LUMPUR – Penahanan empat individu termasuk seorang wanita dipercayai berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Ashari Abu Samah berkata, kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Pada serbuan pertama pada 17 Januari lepas di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan sebuah kondominium di Kajang, polis menahan tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.

“Dalam serbuan tersebut, polis telah berjaya merampas 25.054 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan 48.09 gram dadah jenis heroin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata dalam serbuan kedua keesokan harinya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Wangsa Maju telah menangkap seorang lelaki serta merampas 2.039 kg ganja di kawasan Setapak.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 47 tahun dan hasil saringan awal air kencing mendapati seorang positif dadah jenis ganja manakala tiga lagi negatif.

“Polis juga merampas beberapa aset sindiket untuk tujuan sitaan antaranya sebuah kereta Honda City, sebuah Toyota Vios, enam utas gelang tangan, empat utas rantai leher, lapan bentuk cincin dan 15 bentuk anting-anting dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM195,630,” ujarnya.

Ashari berkata, sindiket terbabit dikesan bergerak aktif sejak enam bulan lepas di sekitar Lembah Klang dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca bekalan dadah diperoleh.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung seramai 27,141 orang penagih dadah.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 24 Jan ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – MalaysiaGazette