Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sehingga ke suatu tempoh yang akan ditetapkan.
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang warganegara Malaysia telah memfailkan rayuan untuk menghidupkan semula saman terhadap kerajaan serta empat lagi berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Peguam Mohaji Selamat, yang mewakili Mohd Hatta Sanuri, ketika dihubungi Bernama berkata notis rayuan telah difailkan pada 12 Jan lepas.

Pada 15 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan saman yang difailkan oleh Mohd Hatta bagi pihak dirinya serta lebih 32 juta rakyat Malaysian yang didakwa terjejas akibat pembatalan projek itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan kerajaan dan empat defendan lain selepas mendapati Mohd Hatta tidak mempunyai locus standi untuk memulakan saman tersebut.

Mohd Hatta telah menamakan kerajaan, dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed serta bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai defendan.

Pernyataan tuntutan Mohd Hatta memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa pembatalan projek itu adalah batal serta tidak sah dan supaya kesemua defendan membayar pampasan sebanyak RM1 juta kepada beliau dan semua rakyat Malaysia kerana membatalkan projek HSR secara salah serta cuai.

Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350 kilometer itu apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Dis 2020.

Malaysia telah membayar sejumlah S$102.8 juta (RM320.27 juta) sebagai pampasan kepada Singapura bagi kos yang terpaksa ditanggung berkaitan pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan lanjutan penangguhannya.

Projek itu dijangka menyediakan tiga perkhidmatan utama iaitu perjalanan terus di antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, perkhidmatan domestik di Malaysia serta perkhidmatan ulang-alik dari Iskandar Puteri (Johor) ke Singapura. – BERNAMA