Mentega Terbang
Poster filem Mentega Terbang

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit filem kontroversi, Mentega Terbang telah memfailkan permohonan semakan mencabar keputusan perintah larangan dikeluarkan terhadap mereka oleh Mahkamah Majistret kelmarin.

Pengarah filem, Mohd Khairianwar Jailani dan penerbit, Tan Meng Kheng telah memfailkan permohonan itu petang semalam.

Perkara itu telah disahkan oleh peguam mewakili kedua-dua mereka, Zaid Malek hari ini kepada media.

Kata Zaid, permohonan itu telah dibuat atas larangan dikeluarkan kepada mereka yang didakwa sebagai menyalahi undang-undang dan menyekat kebebasan bersuara.

“Mahkamah telah memberikan perintah melarang anak guam saya daripada bincang atau memberi kenyataan dan komen berkaitan kes ini kepada umum mahupun media.

“Sebutan kes ini pada 24 Januari depan,” katanya hari ini.

Pada Rabu lepas ketika dihadapkan di dua mahkamah berasingan, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim dan Aina Azahra Arifin.

Kedua-dua majistret itu kemudian membenarkan cadangan syarat tambahan pihak pendakwaan supaya kedua-dua tertuduh dikenakan larangan memberi kenyataan dan komen mengenai kes itu hingga ia selesai.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengharamkan filem tersebut namun kedua-dua individu tersebut telah memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan mengharamkan filem berkenaan.

Dakwa mereka, tindakan itu melanggar hal kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mentega Terbang berkisarkan konflik agama yang dihadapi seorang remaja Islam yang bertindak mempelajari agama lain bagi persoalan hidup selepas mati.

Filem berdurasi 104 minit juga didakwa oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebagai bertentangan dengan akidah serta kehidupan Islam beraliran Mazhab Syafie. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penerbit, pengarah filem Mentega Terbang mengaku tidak salah luka perasaan agama orang lain