Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), (tengah) di Majlis Perasmian Penyerahan Klinik Bergerak Waqaf An-Nur Wakalah Zakat Korporat SSM kepada Waqaf Felda di Dewan Semai Bakti Felda Chini 5, di sini hari ini.

PEKAN – Waqaf Felda menerima sumbangan sebuah Klinik Bergerak dengan peralatan lengkap daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Waqaf An-Nur.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kerjasama strategik terbabit dijangka memanfaatkan hampir 100,000 orang peneroka bersama ahli keluarga mereka di 42 kawasan tanah rancangan Felda.

“Ini merupakan satu inovasi yang kita lihat penerima manfaatnya itu dalam kategori yang amat penting kepada komuniti kita kerana peneroka Felda merupakan penyumbang kepada produktiviti negara,”katanya.

Fuziah Salleh

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penyerahan Klinik Bergerak Waqaf An-Nur Wakalah Zakat Korporat SSM kepada Waqaf Felda di Dewan Semai Bakti Felda Chini 5, di sini hari ini.

Menurut Fuziah, selain Klinik Bergerak seperti yang diserahkan kepada Waqaf Felda hari ini, SSM sebelum ini bekerjasama dengan Wakaf An-Nur pada tahun 2023 menyalurkan zakat wakalah keseluruhan bernilai RM1.18 juta yang turut membabitkan enam mesin dialisis di seluruh negara.- MalaysiaGazette