Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen Putrajaya dalam operasi penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia 2024 di Pangsapuri Baiduri, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 20 JANUARI 2024.

BERANANG – Seramai 561 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan itu hasil daripada risikan pihaknya sejak beberapa minggu susulan kawasan perumahan itu terkenal dengan panggilan “Mini Dhaka II”.

Beliau berkata, dari jumlah itu, warga negara dari Indonesia dan Bangladesh merupakan migran teramai yang ditahan, masing-masing 205 dan 200 orang.

“Turut ditahan PATI dari Nepal (65), Indonesia (43), Pakistan (38), Sri Lanka (3), India (2), Kemboja (2), Sierra Leon (2) dan Cameroon (1),” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu JIM, di sini, malam tadi.

Operasi Bersepadu JIM malam tadi melibatkan 532 anggota yang terdiri daripada pegawai JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Dalam pada itu, beliau berkata, PATI yang ditahan berusia seawal 3 bulan hingga 55 tahun, terdiri daripada 447 lelaki dan 87 wanita.

“Kesemua PATI yang ditahan ini akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.


Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh memeriksa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan dalam operasi penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia 2024 di Pangsapuri Baiduri, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 20 JANUARI 2024.

Tambahnya, semasa operasi itu dijalankan, terdapat cubaan PATI melarikan diri dan bersembunyi bagi mengelakkan ditangkap pihak berkuasa.

“Ada yang cuba melarikan diri dan kebanyakan tahanan ini melakukan kesalahan termasuk tiada dokumen dan tinggal lebih masa.

“Hasil pemeriksaan kami mendapati dua kesalahan itu di bawah Akta Imigresen paling banyak dilakukan PATI yang ditahan malam ini,” katanya.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan menaiki trak Jabatan Imigresen Putrajaya dalam operasi penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia 2024 di Pangsapuri Baiduri, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 20 JANUARI 2024.

Sementara itu, bagi PATI yang memiliki dokumen pekerjaan atau perjalanan yang sah, pihaknya akan membebaskan mereka.

“Sesiapa yang didapati bersalah di bawah Akta Imigresen tersebut, kita akja tahan di Depoh Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast