Askar Israel dihadapan bangunan yang dimusnahkan

GAZA CITY – Israel secara sistematik memusnahkan pendidikan tinggi di Gaza dengan membunuh hampir 100 profesor, ratusan guru dan meletupkan semua universiti.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med menyatakan dalam laporan pada Sabtu menyatakan pasukan pendudukan Israel telah membunuh ratusan kakitangan akademik dan beribu-ribu pelajar di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Menurut laporan itu ahli akademik yang disasarkan terlibat dalam pelbagai bidang akademik, memainkan peranan penting dalam memajukan penyelidikan di universiti-universiti di Semenanjung Gaza.

Kumpulan hak asasi manusia itu mencadangkan bahawa tindakan Israel itu bertujuan untuk melemahkan setiap aspek kehidupan di Gaza.

Mereka turut menekankan ia adalah bukti pemusnahan secara sistematik institusi budaya termasuk yang penting dari segi sejarah.

Semasa serangan lebih 100 hari, tentera Israel juga memusnahkan semua universiti di Gaza secara berperingkat.

Pengeboman awal menyasarkan universiti Islam dan Al-Azhar, dan serangan seterusnya ditujukan kepada universiti lain.

Sebagai contoh, Universiti Al-Israa di selatan Gaza telah musnah sama sekali yang pada mulanya digunakan semula sebagai berek tentera dalam perkhidmatan pasukan penceroboh Israel.

Video yang dikeluarkan oleh media Israel pada 17 Januari merakamkan Universiti Al-Israa diletupkan yang berlaku 70 hari selepas pendudukan Israel.

Universiti itu menawarkan kursus termasuk kewangan, kejuruteraan dan undang-undang untuk lebih 4,000 pelajar.

Laporan itu juga menyebut, pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza telah secara tragis membawa kepada kematian ratusan pelajar universiti.

Kemusnahan universiti dan kematian ahli akademik dan pelajar sekolah dijangka menimbulkan cabaran besar untuk meneruskan kehidupan akademik sebaik sahaja krisis berakhir, yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih.

Kementerian Pendidikan Palestin melaporkan awal minggu ini bahawa 4,327 pelajar telah terbunuh sejak 7 Oktober, dengan 7,819 yang lain cedera.

Selain itu, 231 guru dan pentadbir telah dibunuh, dengan 756 cedera semasa serangan.

Tambahan pula, 281 sekolah milik kerajaan dan 65 sekolah kendalian UNRWA di Semenanjung Gaza telah musnah sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya akibat pengeboman dan pencerobohan darat oleh Israel.

Infrastruktur pendidikan telah mengalami kemusnahan dengan 90 peratus sekolah kerajaan negeri mengalami kerosakan secara langsung atau tidak langsung.

Kira-kira 29 peratus bangunan sekolah tidak berfungsi pada masa ini, sama ada disebabkan perobohan sepenuhnya atau kerosakan teruk.- Agensi