KUALA LUMPUR – Sebanyak 494 kes penyamaran sebagai rakan dengan melibatkan kerugian lebih RM2.5 juta sepanjang 2023 sedang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 50 kes pula dengan kerugian RM238,732 dicatatkan dari 1 hingga 20 Januari lalu.
“Menyamar sebagai rakan atau kenalan seterusnya menghubungi mangsa melalui Whatsapp, Telegram, Facebook dan sebagainya untuk meminjam wang.
“Ia merupakan salah satu modus operandi yang digunakan penjenayah untuk melakukan penipuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli berkata, sindiket didapati melakukan penggodaman ke atas akaun Telegram atau WhatsApp milik mangsa sebelum menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh daripada akaun media sosial itu untuk meminjam wang.
“Pemilik sebenar akaun Telegram atau WhatsApp hanya menyedari perkara ini apabila akaun media sosial mereka tidak dapat diakses atau pun menerima panggilan daripada kenalan mereka berkenaan kesahihan pinjaman wang yang ingin dibuat,” katanya.
Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya kepada mesej pinjaman wang yang diterima daripada kenalan terutama apabila akaun bank digunakan milik individu lain.
“Apa pun alasan mereka, lakukan semakan dengan menghubungi kenalan tersebut bagi tujuan pengesahan,” tegasnya.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 013-211 1222. – MalaysiaGazette