Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Beberapa anggota polis dijangka hadir ke Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) bagi merakamkan keterangan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata sumber .

Menurut sumber yang enggan dinamakan, sesi merakamkan keterangan itu dibuat berhubung kenyataan Mahathir bahawa masyarakat India di negara ini masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

“Bukit Aman akan datang Yayasan (Kepimpinan Perdana) bagi merakam keterangan Tun esok jam 11 pagi.

“Ia ekoran lebih 50 laporan polis dibuat terhadap Tun,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Rakaman keterangan itu ditetapkan jam 11 pagi esok di YKP.

Pada 13 Januari lalu, Mahathir dilaporkan mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Bercakap dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Mahathir berkata, seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

“Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil,” katanya ketika hos bertanya jika seseorang itu tidak boleh kekal setia kepada negara didiami sambil komited kepada asal usul mereka.

Mahathir kemudian berkata bahawa “masalah” dia ialah apabila “pendatang” (merujuk kepada kaum India dan Cina) menganggap Malaysia sebagai negara sendiri tapi pada masa sama terus mengamalkan budaya dan adat mereka sendiri.

Apabila hos program itu bertanya sama ada Mahathir menjangkakan orang bukan Melayu “berasimilasi sepenuhnya” menjadi orang Melayu atau tidak, Mahathir menjawab dengan tegas: “Ya… mereka sepatutnya begitu; dahulu kami ada orang India, Pakistan, Arab, dan Afrika, yang kini Melayu, dalam maksud mereka berbahasa Melayu di rumah, budaya mereka adalah Melayu.”

Hos kemudian bertanya jika Mahathir mengharapkan semua kaum di Malaysia dikenali sebagai Melayu dan bukannya rakyat Malaysia.

“Sepatutnya begitu,” kata ahli politik yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu.

Sebelum ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Mahathir bahawa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

Laporan itu dibuat oleh Ahli Majlis Kepimpinan AMK Pusat, M. Sathasivam di Balai Polis Travers. – MalaysiaGazette