Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Kerajaan negeri memberi jaminan kenaikan kadar baharu tarif air yang akan diumumkan Rabu ini tidak akan membebankan rakyat khususnya golongan B40.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penyelarasan kadar itu tidak dapat dielakkan ekoran kenaikan kos naik taraf paip air bawah tanah yang tidak pernah ditukar hampir 20 tahun lalu.

“Had siling pelarasan baharu tarif air adalah 22 sen, jadi kita akan lihat di Melaka (dan) dalam had yang ada, berapa jauh (sekitar) 22 sen itu yang Melaka boleh sampai.

“Jika tidak, nanti bekalan air yang sampai kepada pengguna hanya 60 peratus kerana baki 40 peratus hilang dalam tanah dan kalau ini berlaku, jumlah pelaburan pun boleh hilang 40 peratus,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kilang Audemars Microtec (Malaysia) Sdn Bhd di Kawasan Industri Angkasa Nuri, Durian Tunggal, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, penggantian paip bawah tanah itu wajar dilakukan kerana Melaka tidak tidak pernah menaikkan kadar tarif air sejak 18 tahun lalu.

“Prinsipnya sama (seperti) Johor, Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Perlis, paip air kita dah puluhan tahun dan memerlukan satu penyelenggaraan atau pertukaran paip pada waktu ini.

“Kerajaan negeri dan rakyat perlu saling bekerjasama untuk memastikan bekalan air dapat dibekalkan ke tahap minimum 90 peratus sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan pada 17 Januari lalu berkata, tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dikuatkuasakan bermula 1 Februari ini, membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast