Kemusnahan akibat serangan udara dan darat secara berterusan Israel di Gaza.

BAITULMAQDIS – Lebih 25,000 orang penduduk Gaza telah terbunuh dalam serangan Israel di sana, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Menurutnya, terdapat 178 kematian dalam 24 jam terakhir, menjadikannya salah satu hari paling tragis dalam peperangan tersebut setakat ini.

Ketika pertempuran berterusan, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sekali lagi menolak kewujudan negara Palestin.

Israel memulakan serangannya susulan serangan 7 Oktober selepas pejuang Hamas membunuh 1,300 orang di selatan Israel dan menjadikan lebih 240 tebusan.

Bagaimanapun, pejuang Hamas menyifatkan serangan pada bulan Oktober itu sebagai “langkah yang perlu” bagi menentang pendudukan Israel di wilayah Palestin dan satu cara untuk mendapatkan pembebasan tahanan Palestin.

Operasi udara dan darat Israel kini tertumpu di selatan Gaza, di mana tentera zionos yakin komander tertinggi Hamas bersembunyi di dalam, atau di bawah, bandar Khan Younis.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pula mendakwa telah menemui satu lagi terowong, kira-kira 830 meter (2,700 kaki) panjang dan mengandungi perangkap samar dan pintu letupan.

Rakaman IDF menunjukkan apa yang kelihatan seperti terowong dengan tilam dan sel di dalamnya – di situlah Israel percaya kira-kira 20 tebusan, termasuk kanak-kanak, ditahan di pelbagai tempat.

Namun, tiada siapa yang ditemui dalam terowong berkenaan.

Askar Israel juga telah menghadapi serangan baharu di utara Semenanjung Gaza, yang mana Hamas dikatakan telah menawan sekitar bandar Jabalia ketika Israel memindahkan tentera dan kereta kebal ke selatan.

Lebih tiga bulan sejak konflik meletus, Israel – yang tenteranya jauh mengatasi kemampuan Hamas – masih menghadapi tentangan ketara di seluruh Gaza.

Agensi perisikan Amerika Syarikat menganggarkan kira-kira 20 hingga 30 peratus pejuang Hamas telah terbunuh.

Anggaran itu jauh meleset daripada matlamat Netanyahu untuk “memusnahkan sepenuhnya” kumpulan bersenjata itu.

Laporan sulit itu juga dikatakan mendapati Hamas masih mempunyai peluru yang mencukupi untuk terus menyerang tentera zionis dan Israel selama berbulan-bulan, kemungkinan menyebabkan perang berpanjangan. – Agensi