Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berhubung situasi di Timur Tengah termasuk isu Palestin di New York, Amerika Syarikat esok.

Beliau akan mengulangi desakan Malaysia untuk gencatan senjata serta-merta, menentang perpindahan berterusan rakyat Palestin secara paksa, dan menegaskan kepentingan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan untuk menangani pembinasaan kemanusiaan yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza.

Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia akan mendesak Israel bertanggungjawab ke atas tindakannya yang terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.

Mohamad akan mengesyorkan supaya negara Palestin secara rasminya diiktiraf sebagai Negara Anggota PBB dengan keahlian penuh untuk memajukan perjuangan hak mutlak mereka bagi menentukan nasib sendiri dan kemerdekaan dan kedaulatan yang telah lama dinafikan, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Beliau dijadualkan bertemu dengan António Guterres, Setiausaha Agung PBB, dan menyatakan sokongan Malaysia kepada seruan terkini beliau untuk bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza dengan cepat, selamat, menyeluruh, berterusan dan tanpa halangan.

Malaysia juga menyatakan sokongan kepada Sigrid Kaag dalam menunaikan tanggungjawab beliau sebagai Koordinator Kanan Kemanusiaan dan Pembinaan Semula Gaza yang baharu.

Malaysia memperakui usaha-usaha di peringkat multilateral yang dilakukan untuk memberi tumpuan berterusan kepada situasi di Palestin.

Mendukung suara rakyat Malaysia untuk Palestin, Menteri Luar Negeri juga akan menyerahkan poskad khas daripada perdana menteri dan anggota-anggota Kabinet kepada Setiausaha Agung PBB, yang mana menyeru badan itu menerima Palestin sebagai Negara Anggota PBB dengan keahlian penuh, dan pada masa yang sama menggesa gencatan senjata serta-merta.

Di samping usaha-usaha diplomatik, Malaysia juga terlibat dalam tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa berhubung isu Palestin.

Menteri Luar Negeri juga akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kesan perundangan yang timbul akibat daripada polisi dan pencabulan berterusan oleh Israel terhadap Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, yang akan diadakan di Peace Palace, The Hague, Belanda, bermula dari 19 Februari 2024.

Malaysia dijangka menyampaikan kenyataan lisan pada 22 Februari 2024.

Kementerian Luar Negeri menambah, Malaysia sebelum ini telah mengemukakan Kenyataan Bertulis pada 25 Julai 2023 kepada ICJ yang memberi fokus kepada pencabulan hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri (self-determination) oleh Israel.

Proses bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ adalah susulan daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah diterima pakai pada 30 Disember 2022, dan ditaja bersama oleh Malaysia.

Malaysia menyokong sepenuhnya tindakan undang-undang yang dikemukakan oleh Afrika Selatan terhadap Israel berkaitan pencabulan terhadap tanggungjawabnya di bawah Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Malah, Malaysia sedang meneroka opsyen tersedia untuk menyokong kes ini dengan lebih lanjut.

Malaysia bertekad untuk menggunakan segala platform untuk menyokong Palestin dan menamatkan kekejaman di Gaza, dan membawa Israel ke muka pengadilan, menurut Kementerian Luar Negeri. – MalaysiaGazette