MELAKA – Seorang pengarah syarikat pembekalan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam negeri ini bagi pelaksanaan kerja-kerja perolehan sejak tiga tahun lalu.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia awal 60-an itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di Pejabat SPRM Melaka, Alai di sini bagi membantu siasatan.
Penahanan dibuat ekoran suspek dipercayai telah merasuah penjawat-penjawat awam di pelbagai jabatan kerajaan negeri dengan membayar sogokan antara belasan hingga puluhan ribu ringgit.
“Wang rasuah itu bagi memastikan kerja-kerja pembekalan di jabatan-jabatan berkenaan diperolehi yang melibatkan perolehan keseluruhan berjumlah RM639,104,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd. Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam untuk memberikan kerjasama.
“Mereka terdiri dari pelbagai jabatan dan SPRM Melaka amat komited memastikan rantaian kartel rasuah sebegini perlu dinoktahkan.
“Ini bagi mengelak kerja-kerja monopoli projek pembekalan di jabatan-jabatan kerajaan negeri Melaka daripada terus berlaku,” tegasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah esok bagi mendapatkan kebenaran permohonan reman. – MalaysiaGazette