Penjawat awam wanita direman SPRM di Mahkamah Majistret Kedah pagi tadi bagi membantu siasatan kemuka dokumen tuntutan palsu program jualan rahmah.ihsan SPRM Kedah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan reman seorang penjawat awam disyaki menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran Program Jualan Rahmah 2023 berjumlah kira-kira RM22,000.

Wanita itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.

Majistret Tuan Muhammad Zul Hilmi Latif membenarkan suspek direman selama lima hari sehingga 26 Januari ini.

Semalam, SPRM menahan suspek wanita berusia 30-an itu kira-kira jam 9.00 malam di pejabat SPRM Kedah selepas diminta hadir untuk memberi keterangan membantu siasatan kes.

Sumber memberitahu, suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pemilik syarikat untuk menggunakan invois yang mengandungi butir matan palsu yang mana kuantiti jualan melebihi kuantiti sebenar yang terjual.

“Perkara ini dikesan setelah mendapati invois yang dikemukakan oleh suspek tidak sama dengan Laporan Ringkas Program Jualan Rahmah 2023 yang dikeluarkan Pejabat KPDN negeri Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kedah, Soock Wee a/l Ei Tem ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette