Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media Op Palu sempena Perayaan Thaipusam 2024 di Kuil Batu Caves petang Isnin 22 JANUARI 2024.

GOMBAK – Polis Kontinjen Selangor telah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap 311 pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu pada tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 33 individu telah dituduh di mahkamah.

“Sementara itu, seramai 14 lagi individu telah ditahan kerja manakala 21 lagi telah dibuang kerja dan selebihnya masih dalam tindakan lanjut polis,” katanya pada sidang media Op Palu sempena Perayaan Thaipusam 2024, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam dan Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir.

Menurut Hussein, pihaknya memandang serius terhadap kes pelanggaran tatatertib meskipun bilangannya sedikit berbanding 15,000 anggota yang berkhidmat dalam kontinjen negeri tersebut.

Tambah beliau, seramai 21 individu terlibat dalam kes dadah sementara 11 anggota pula terbabit dalam kes jenayah dan seorang disiasat dalam kes membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, Hussein berkata, seorang pegawai dan 10 anggota yang terlibat dalam kes tatatertib telah didakwa di mahkamah pada awal bulan ini.

“Selain itu, kita juga menyiasat penyelia kepada anggota berkenaan di mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka terbukti gagal dari segi penyeliaan,” katanya.

Hussein memberitahu, pihaknya menubuhkan dua pasukan khas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti untuk memantau secara berterusan terhadap mereka yang bertugas di barisan hadapan.

“Ia turut dibantu pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi mengawal tingkah laku dan tatatertib pegawai dan anggota Kontinjen Selangor agar sentiasa berada pada tahap tinggi prestasinya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast