KOTA KINABALU – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Kursi Kadazan-Dusun UMS baru-baru ini menganjurkan program ceramah bertajuk ‘Sogit: Perubahan pelaksanaan amalan Sogit dalam kalangan masyarakat Kadazandusun di Sabah’.

Ketua penganjur program, Dr. Trixie Marjorie Tangit berkata, ceramah yang disertai 800 peserta, termasuk pelajar tahun satu UMS itu bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta tentang keunikan masyarakat Sabah melalui kursus teras fakulti yang bertajuk ‘Budaya dan masyarakat di Sabah’.

Ketua Anak Negeri (KAN), Roger Meylin Impou (Mahkamah Anak Negeri Daerah Kota Kinabalu) berkata, sogit adalah tradisi lama dalam masyarakat Anak Negeri yang bertindak sebagai penalti kerana melanggar undang-undang Anak Negeri.

“Sogit bertujuan menjaga keamanan, menyelesai konflik, meredakan ketegangan selain dari mengenakan pampasan bagi pelanggaran adat di Sabah.

”Dalam konteks Mahkamah Anak Negeri, sogit melibatkan hukuman berdarah (melibatkan sembelihan binatang) berpandukan Enakmen Anak Negeri (Undang-undang Adat Anak Negeri 1995).

“Dari segi sejarah, sogit diperluaskan kepada interaksi dengan roh terutamanya dalam ritual pagan. Namun, pada masa ini, upacara sebegini jarang berlaku di Kota Kinabalu disebabkan penganutan agama dan kesukaran untuk mendapatkan bobolian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun menurut Roger, amalan itu masih diamalkan di kawasan luar bandar.

Tambah beliau, walaupun zaman menjadi semakin moden yang membawa perubahan kepada cara hidup sosial dan penganutan agama, pelaksanaan amalan sogit dalam kalangan etnik Kadazan Dusun tidak banyak berubah disebabkan ia merupakan amalan yang diwarisi sejak dahulu lagi.

Katanya, denda dan amalan sogit berbeza di setiap daerah (kampung masing-masing) yang mana ketua kampung diberi kuasa untuk mengenakan denda sogit, terutamanya dalam kes pelanggaran adat atau konflik.

Beliau berkata, mereka juga berperanan sebagai orang tengah untuk penyelesaian secara aman di peringkat kampung.

Program itu turut dihadiri dua penceramah iaitu Ketua Anak Negeri (KAN), Viola Giluk Dompok (Mahkamah Anak Negeri Daerah Penampang) dan Ketua Kampung, David Raji Joy (Kampung Kopimpinan, Putatan, wakil Ketua Daerah OKK Datuk Stephen Sondoh (Mahkamah Anak Negeri Daerah Putatan).

Sementara itu, Viola Giluk berkata, sogit menyaksikan pelanggaran undang-undang adat Anak Negeri adalah tidak mengira agama atau bangsa, selagi ia melibatkan Anak Negeri maka sogit akan tetap dikenakan.

Menurut beliau, sebagai contoh tindakan keterlaluan dan tidak senonoh yang pernah dilakukan oleh warga asing ke atas Gunung Kinabalu dikenakan sogit melibatkan upacara korban haiwan seperti kerbau, ayam atau babi.

Difahamkan, upacara itu diikuti dengan ritual untuk menenangkan semangat dan roh-roh di gunung mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan Dusun.

Turut hadir pada ceramah tersebut, Pemegang Kursi Kadazan-Dusun UMS, Prof Datuk Seri Panglima Clarence B. Malakun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast