Zulkafperi Hanapi

KUALA LUMPUR – Seorang lagi ahli Parlimen hari ini membuat kenyataan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, sokongan itu dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Pengisytiharan sokongan ini kepada kepimpinan Perdana Menteri Ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjoong Karang,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Zulkafperi menjadi Ahli Parlimen keenam dari pembangkang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertindak menyokong Anwar.

Dalam kenyataan itu, beliau berkata, keputusannya itu bertujuan untuk memastikan nasib dan pembangunan penduduk Tanjung Karang terus terbela dan akan mendapat pelabagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur dan keperluan setempat.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang,” jelas Zulkafperi lagi.

Sama seperti ahli-ahli Parlimen pembangkang lain yang menyokong Anwar, beliau turut berkata, masih menjadi ahli Parlimen pembangkang dan Bersatu.

“(Saya) tidak akan mengkhianati parti Bersatu namun demi memastikan kelangsungan (kawasan Parlimen) Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan peringkat persekutuan adalah wajar untuk saya bersama dengan kepimpinan Putrajaya yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi wakil rakyat PN kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette