JOHOR BAHRU – Cemburu dan sakit hati.
Itu motif kes pembunuhan Bella atau Mila Sharmilah Samsusah, 32, di mana teman lelaki mangsa didakwa di mahkamah hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek utama iaitu teman lelaki wanita itu cemburu dan sakit hati terhadap mangsa.
Siasatan menyeluruh yang dijalankan berjaya menemui rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, bagu Pahat Jumaat lalu.
“Kes bunuh ini mesti mempunyai motif. Daripada motif itulah kita akan memulakan dan dapat bayangan siasatan kita. Jadi inilah motif yang kita dapat tahu menerusi siasatan dibuat.
“Berdasarkan siasatan yang dijalankan kita dapati ia dipercayai berpunca akibat cemburu dan sakit hati. Suspek utama kes ini juga telah dituduh pada pagi ini di Mahkamah Majistret Batu Pahat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ibu tunggal yang dikenali sebagai Bella yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember tahun lalu disahkan meninggal dunia selepas penemuan rangka manusia pada Jumaat lalu.
Razarudin berkata, laporan forensik yang diterima menunjukkan punca kematian mangsa adalah berpunca kesan hentakan di kepala menggunakan objek tumpul.
Kesan retakan di tengkorak kepala mangsa itu dikesan menjadi punca kematian wanita terbabit.
Ditanya mengenai dakwaan mangsa bunuh mengandung, perkara itu tidak disahkan oleh pihaknya dan perlu menunggu laporan bedah siasat secara menyeluruh.
“Ini kerana kita jumpa rangka sahaja, perkara itu tidak dapat disahkan.
“Sama ada mangsa mengandung atau tidak, itu atas post mortem. Hasil laporan bedah siasat menyeluruh akan menentukannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: