Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah.

MANJUNG – Seorang lelaki warga Thailand mati ditembak di kepala oleh sekumpulan disyaki warga Indonesia di perairan Pantai Remis semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner, Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu sekitar  12.20 tengah hari.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku sewaktu mangsa berada di atas bot milik pengadu pada kedudukan latitude 45712.0N 991436.0E.

“Pengadu dimaklumkan oleh pekerjanya menerusi alat walkie talkie dan mereka mengambil masa untuk perjalanan balik ke pelantar ikan di Pantai Remis,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Mohamed Nordin berkata, warga Thailand itu disahkan meninggal dunia dengan kesan tembakan di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati,” katanya. – MalaysiaGazette