Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berucap pada majlis Pra Pelancaran National Training Week (NTW) 2024 di Hilton Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 JANUARI 2024

KUALA LUMPUR – Sebanyak 25,000 kursus  dan latihan percuma ditawarkan sepanjang penganjuran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 yang akan berlangsung 24 hingga 30 Jun datang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau mensasarkan seramai 150,000 orang menyertai latihan-latihan dengan jumlah pembiayaan oleh industri sebanyak RM200 juta.

“Sebab tahun lepas program national training week 2023 telah berjaya untuk melatih ataupun memberikan latihan percuma kepada 130,000 orang pelatih bersamaan dengan 21,000 kursus percuma di seluruh negara, bersamaan 500,000 jam latihan,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Pra Pelancaran NTW 2024.

Turut hadir Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Datuk Shahul Dawood.

Mengulas lanjut, Steven berkata, program literasi Kecerdasan Buatan (AI) antara program yang akan turut ditawarkan pada tahun ini, selain kursus yang berkualiti tinggi.

“Kita perlu melihat kepada latihan-latihan yang berkualiti sebab target nya ialah untuk latihan menjadi papan luncur untuk kita melihat kepada satu dasar ataupun satu sasaran di mana pemberi latihan di Malaysia ini mencapai satu kualiti tahap antarabangsa.

“Saya yakin sebenarnya tadi saya ada sebut ekosistem kita ada. Kita ada syarikat-syarikat industri bertaraf dunia,” ujarnya.

Selain itu tambah beliau, pembaharuan NTW tahun ini adalah pembukaan penyertaan bukan hanya kepada golongan pekerja sektor swasta malah kepada penjawat awam.

Sebagai rekod, NTW adalah anjuran HRD Corp. di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia.

Program tersebut merupakan satu minggu yang penuh dengan acara latihan serta aktiviti yang menghimpunkan organisasi dan individu dari pelbagai latar belakang dan industri untuk mengalami peluang pembelajaran dan pembangunan di seluruh negara.

Sebanyak lima teras latihan dan kurusus yang ditawarkan termasuk kemahiran hidup, kemahiran masa depan, kreativiti dan inovasi, kewangan dan pembangunan mampan. – MalaysiaGazette