PUTRAJAYA – Langkah Kerajaan Perpaduan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah perkara yang mustahak.
Jurucakap kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, penubuhan RCI itu adalah bagi menjaga kedaulatan negara dan Raja-Raja Melayu.
“Berdasarkan perbincangan dalam jemaah menteri, ia adalah satu perkara yang disifatkan penting dan mustahak kerana ia melibatkan sempadan yang menyentuh kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Jelas Fahmi, anggota RCI akan persembahkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum diumumkan kepada umum.
Awal hari ini, Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), yang mana cadangan keanggotaan suruhanjaya itu akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pada 14 November 2021, media melaporkan jemaah menteri pada 29 Oktober 2021 telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menyemak semula tindakan dan isu perundangan berkenaan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Dalam pada itu, Fahmi turut menjelaskan tiada cuti peristiwa pada 31 Januari depan seperti yang digembar-gemburkan di media sosial.
Katanya, perkara itu tidak dibawa ke meja perbincangan ahli Kabinet.
“Perkara ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu lalu dan hari ini. Malangnya tiada pengumuman sedemikian pada hari ini, tidak ada kecuali Perdana Menteri memikirkan ada kewajaran,” katanya lagi.
Sebelum ini, hangat di media sosial membincangkan sama ada tarikh 31 Januari ini akan diumumkan sebagai cuti peristiwa memandang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.
Malah pada 31 Januari 2019 apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah jawatan tiada cuti umum diumumkan pada hari tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan tubuh RCI kaji pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan