ALOR GAJAH – Seorang pelajar Tingkatan 3 bersama dua rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang dan besi terhadap lima warga Bangladesh Disember tahun lalu.
Tertuduh berusia 15 tahun bersama Naufal Izmeiel Abdullah, 24, dan Muhammad Ridzuan Mat Nasir, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama dua orang yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan besi hingga menyebabkan kecederaan terhadap lima warga Bangladesh.
Tertuduh juga didakwa mengambil wang tunai berjumlah RM1,700 dan empat telefon bimbit.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam hingga 11.40 malam antara 3 November hingga 19 Disember lalu di kebun sayur Kampung Melekek, Kampung Kandang Kambing dan kebun buah Jalan Kemus, Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah.
Sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan di baca bersama bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Mohammad Zaki Abdul Shukor yang mewakili Muhamad Ridzuan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja. Dua lagi tertuduh bagaimanapun tidak diwakili peguam.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Nariman kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,500 bagi kesemua pertuduhan untuk pesalah juvana.
Sementara itu, dua lagi tertuduh dibenarkan jaminan RM18,000 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan tarikh 27 Februari depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette