Wisma Putra
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat atau terjejas akibat gempa bumi di Wilayah Autonomi Uyghur di Xinjiang, China awal pagi semalam.

Menurut kementerian tersebut, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang memantau rapat perkembangan susulan gempa bumi yang melanda kawasan Barat Laut China itu.

“Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat gempa bumi ini serta kepada rakyat dan kerajaan China.

“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media antarabangsa melaporkan, sekurang-kurangnya enam orang cedera selepas rumah mereka runtuh dalam kejadian gempa bumi pada skala 7.1 di kawasan terbabit, kira-kira pukul 2.09 pagi waktu tempatan.

Wisma Putra menambah, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Beijing melalui talian 00-8610-6532-2531 atau 00-8613718942581 (kecemasan – selepas waktu pejabat) serta e-mel [email protected]. – MalaysiaGazette