MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita sebuah lori yang diubah suai apabila disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Lori bertutup muatan 4.5 tan itu ditahan dalam operasi bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin, (AMJ) di Paya Rumput, di sini malam tadi.
Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, pemeriksaan ke atas lori dipandu lelaki berusia 30-an itu menjumpai sebuah tangki kosong bersaiz besar dipercayai untuk diisi minyak diesel di bahagian dalam kenderaan berat itu.
“Sebelum ditahan, lori ini dipercayai dalam perjalanan mengisi diesel di stesen minyak berdekatan dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat kesalahan mengubah suai dengan meletakkan tong minyak diesel.
“Kita akan lihat secara teknikal apakah terdapat kesalahan lain dilakukan selain pemandunya juga tidak mempunyai lesen membawa kenderaan barangan,” katanya pada sidang media selepas operasi malam tadi.
Mengulas lanjut beliau berkata pemeriksaan mendapati, lori terbabit mampu mengisi sebanyak 3,000 liter diesel di dalam tangki yang diubah suai itu.
“Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut dan kenderaan ini akan disita di bawah Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain lori ini, terdapat dua lagi kenderaan disita dan kita telah mengeluarkan 275 saman terhadap 132 pemandu dan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Muhammad Firdaus menambah daripada jumlah itu, motosikal kekal menjadi kenderaan paling tinggi dikenakan saman iaitu 71 buah atas kesalahan tiada cukai jalan, lesen dan ubah suai.
Dalam operasi selama tiga jam yang berakhir 11 malam itu, sebanyak 755 kenderaan persendirian dan perdagangan diperiksa.
Operasi bersepadu itu melibatkan seramai 86 pegawai dan anggota penguat kuasa daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen. – MalaysiaGazette