Foto yang menunjukkan Israel melakukan genosid di Gaza.

THE HAGUE – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan akan mengeluarkan keputusan penghakiman terhadap langkah sementara yang dipohon Afrika Selatan dalam kes pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza pada Jumaat.

Presiden Mahkamah ICJ Hakim Joan E. Donoghue akan mengeluarkan keputusan semasa sidang awam yang akan berlangsung pada 1 tengah hari waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia).

Menurut agensi berita Afrika Selatan, News24, pegawai kerajaan Pretoria telah tiba di Belanda untuk mendengar penghakiman.

Pada 11 Januari lalu ICJ membuka perbicaraan kes Afrika Selatan yang menuntut penggantungan operasi ketenteraan di Gaza yang mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Menurutnya, perbuatan sedemikian dilakukan dengan niat untuk menghapuskan lebih ramai rakyat Palestin di Gaza.

Ia mendakwa, tindakan Israel itu melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Afrika Selatan turut meminta mahkamah mengeluarkan langkah-langkah sementara bagi melindungi hak rakyat Palestin daripada kemudaratan yang lebih teruk sehingga sukar untuk dipulihkan dan memastikan Israel patuh terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid.

ICJ juga mendengar hujah daripada Israel berhubung tuduhan itu pada 12 Januari lalu.-Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast