Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Zamani Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kuasa orang Melayu menjadi semakin tercabar dan lemah apabila peratusan rizab tanah Melayu semakin mengecil.

Buktinya, sebahagian besar tanah rizab Melayu hilang dan kini hanya tinggal sekitar 12 peratus sahaja, berbanding asalnya 50 peratus, kata Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim.

Menurutnya, orang Melayu mungkin masih belum sedar sepenuhnya apabila menjual tanah kepada orang bukan Melayu, bermakna kaum itu telah kehilangan keistimewaan kuasa.

“Sejauh mana orang Melayu sedar tanah itu bukan sekadar harta tetapi kuasa? Apabila anda jual tanah, ini bermakna anda jual kuasa anda kepada orang lain.

“Kesedaran orang Melayu terhadap isu ini amat lemah. Mereka lebih memandang ia sekadar harta semata-mata,” katanya.

Justeru katanya, tanah yang hilang itu mesti diganti balik dengan nilaian yang sama bagi mengembalikan semula hak orang Melayu yang telah dicabuli selaras dalam Perlembagaan Persekutuan Fasa 89 dan 89 (3) serta Wasiat Raja-Raja Melayu.

Zamani turut mencadangkan agar orang Melayu yang ingin menjual tanah merujuk fatwa bahawa, haram tanah Melayu Islam dijual kepada orang bukan Melayu dan Islam.

“Haram hukumnya menjual tanah kepada orang bukan Islam berdasarkan beberapa faktor iaitu ketidakmampuan orang Melayu untuk membeli semula tanah yang telah dijual kepada orang bukan Islam.

“Bahkan, perancangan dasar ekonomi orang Melayu akan tersasar. Dalam kalangan elit politik langsung tidak menggantikan tanah rizab Melayu yang telah diambil”, katanya. – MalaysiaGazette