Mayat Lee Yie Chong ditemui tengah malam tadi.

KUANTAN, 25 Jan (Bernama) — Warga emas yang dilaporkan hilang semasa meredah banjir kilat di pekan Sungai Lembing di sini semalam, ditemukan lemas tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata Lee Yie Chong, 62, ditemukan pada 12.45 tengah malam, kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Mangsa ditemukan terdampar di Kampung Jelihan Sungai Lembing dan buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee yang merupakan pemilik kedai 3D Sungai Lembing dilaporkan hilang sekitar 7 petang semalam, semasa meredah air bersama isteri dan anak lelakinya untuk ke kereta yang diletakkan di tempat tinggi untuk pulang ke rumah.

Mangsa yang berjalan di tengah antara isteri dan anaknya, dikatakan mengadu kepenatan sebelum dihanyutkan arus deras.

Mereka sebelum itu memindahkan barangan di dalam kedai berikutan banjir kilat kerana hujan lebat berterusan sejak 3 petang, sekali gus menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan pekan.

Bagaimanapun, banjir mulai surut dengan paras Sungai Lembing yang melepasi paras bahaya malam tadi, direkodkan pada paras waspada pagi ini. – BERNAMA